Ahad, 21 Februari 2010

HidOp BaRu???!!!.......











Penyesalan dan kekecewaan seseorang terhadap masa hidup yang telah disia-siakan selalu membawa diri kepada sebuah titik perhentian. Malangnya, titik tersebut kadang kala tidak pun membantu, kerana acap kali, memori, suasana, keadaan atau teman-teman lama, hadir dengan tiba-tiba dan tanpa menghargai pendirian dan prinsip baru tuan punya diri, mereka (suasana, memori, keadaan, teman-teman lama) sewenang-wenangnya menarik dengan paksa ke dalam lembah hitam lama yang baru sahaja cuba dipisahkan dari dirinya. Apa yang terjadi, titik perhentian yang seharusnya menjadi pemisah antara kenangan silam yang kelam dan cita cerah yang terang tidak kunjung hadir. Tidak timbul-timbul juga tidak muncul-muncul. Apa yang pada mulanya sudah diniatkan sebagai silam yang kelam untuk dikenang, berulang lagi, selepas sekali, sekali lagi. Akhirnya tuan punya diri menyerah dan berkata, “Bukan aku tak mahu berubah! Aku dah cuba. Tapi tak boleh!” Silam yang mengikat. Begitu kejam.

Ramai yang hati kecil mereka membisikkan seruan perubahan, anjakkan paradigma, atau pembaharuan. Tapi kerana semua itu memerlukan perjuangan maka ramai yang tidak melayani bisikan hati kecil mereka. Malangnya lagi, mereka memaksa diri mereka untuk rela berada di keadaan yang sedang mereka berada walaupun keadaan itu teramat pahit.

Mungkin itulah sebab para pakar psikologis mula menggunakan istilah “New Life” atau “Hidup Baru” sebagai istilah pembantu bagi memotivasikan seseorang untuk berubah. Dalam sejarah Islam agenda perubahan yang dilaksanakan secara besar-besaran terjadi dalam sebuah peristiwa agung yang kita kenal dengan “HIJRAH” yang bermakna “pindah”.

Hijrah atau istilah yang lebih keren “New Life” memberikan satu suntikkan makna dan nilai akan pemisah antara silam dan sekarang. Hijrah seperti yang tercatat di dalam buku sejarah merupakan usaha Rasulullah SAW bersama muslimin meninggalkan silam yang kelam di Mekah, dan mula menyusun ketamadunan Islam yang pada saat itu ‘generasi unggul itu’ harapkan menjadi suatu yang terang. Ya, mereka tidak tahu apakah perubahan itu akan berjaya dan membawa kebaikan atau pun tidak. Tetapi dengan segala keyakinan dan harapan mereka berusaha menuju perubahan.

BAGAIMANA MEMULAKAN HIDUP BARU?

Soalan ini sering diajukan kepada saya. Biasanya jawapan saya akan begini :

Ada dua cara, 1. Perubahan secara perlahan dan bertahap. Berubah menggunakan cara ini sebenarnya memerlukan perjuangan yang dahsyat. Kerana dia perlu usaha yang berterusan, konsisten sambil melayani segala macam dan bentuk halangan yang hadir. Kelebihan cara ini, ia tidak memeranjatkan diri dan tidak memaksa diri untuk cope sehingga perubahan itu bergerak seakan-akan secara mulus. Berubah cara ini adalah merbahaya jika sang tuan punya diri, belum mempunyai fahaman yang mantap dan keteguhan yang jitu kerana ruang dan jarak masa mungkin digunakan oleh suasana, memori atau kawan lama untuk mengheret sang tuan punya diri ke silamnya yang kelam.

Cara ke2. Perubahan secara langsung. Perubahan ini dilakukan secara drastis tanpa mengulur waktu lama. Tekad telah bulat. Perubahan yang diinginkan merupakan muktamad. Maka, tanpa peduli akan kesan sampingan dan perkara berbangkit ia dilaksanakan. Biasanya, perubahan cara ini, sering kita temukan dalam diri mereka yang tegas dan memiliki watak keperibadian yang kukuh (firm). Tentunya, perubahan cara ini juga memberi ketegangan tidak hanya kepada tuan punya diri, tapi juga kepada mereka yang berada di sekelilingnya. Kelebihan cara ini adalah proses perubahan itu tidak meleret-leret dan peratusan gagal berubah itu rendah. Bahkan, sebelum keputusan untuk berubah diambil, secara batin dan mungkin juga zahir telah ada sebuah kesediaan untuk hadapi segala apa resiko. Kesan negatifnya, tentu berkait dengan sekeliling. Keterkejutan (shock) yang bakal dihadapi dan sebagainya.

Selain dari kedua cara perubahan ini, mungkin masih ada cara-cara lain yang tidak akan dibahas di dalam tulisan ini.

Antara kedua cara ini, mana yang lebih baik?

Persoalannya bukan mana yang lebih baik, tapi mana satu yang lebih sesuai. Sesuai dengan diri dan sesuai dengan bentuk perubahan. Seorang yang ingin berubah dari seorang perokok menjadi seorang yang tidak merokok boleh melihat watak seperti apakah dirinya. Bolehkah cara bertahap memberhentikan rokok digunapakai atau cara itu malah akan menjadi penghambat proses memberhentikan rokok? Bagaimana pula dengan cara berhenti secara langsung? Akankah ia memberi kesan sampingan seperti pening kepala dan kemurungan?

Pengetahuan tentang diri sendiri adalah penting. Ia adalah syarat utama dalam usaha mendapatkan hasil yang positif. Hal yang sama bila perubahan yang berbentuk sahsiah diri. Isu pakaian umpamanya. Seorang mungkin selesa dengan perubahan yang bertahap. Bermula dengan selendang, bila dah lama dan selesa baru tukar guna tudung nampak jambul, tahap berikutnya tudung tiga segi hinggalah pada akhirnya tutup secara sempurna hinggalah menutupi bahagian bawah dada dan anggota-anggota lainnya. Ada pula golongan yang sibuk mengkaji dan mengumbul alasan dan hujjah. Sehinggalah tiba saat dia betul-betul bersedia dia terus berubah dari seorang yang tidak bertudung menjadi seorang yang bertudung malah berpurdah dan bersarung tangan.

Selain dari perihal cara, apa yang turut perlu diperhatikan adalah faktor-faktor lain yang mendukung perubahan tersebut.

Ketika Mekah tidak lagi releven dari segi tempat, dari segi suasana, dari segi penduduk dan segi-segi lain perintah Hijrah diturunkan. Hijrah dari Mekah ke Yastrib atau Madinah adalah sebuah pertukaran tempat, pembaharuan suasana, penempatan manusia-manusia bersih yang mana segalanya ini menjadi faktor kepada perubahan mahadahsyat yang berlaku setelah peristiwa Hijrah itu sendiri.

Maka disini amat jelas, kesungguhan meniti perubahan bukan sekedar cakap-cakap, atau bisikan hati, sehingga cara yang dipilih adalah cara yang bertahap, lalu dengan memberi alasan itu ini melepaskan diri dari pertanggunganjawab akan perubahan yang dulu pernah dikatakan tapi tidak dikotakan. Tetapi disini jelas dalam meniti perubahan segala detail yang kecil sekali pun menjadi perhatian hinggalah isu pembentukan suasana, penyediaan sarana, pemilihan kawan, pengumpulan hujah, pensistematikan tindakkan dan segalanya masuk dalam agenda pelaksanaan.

Contoh yang mungkin membantu memahami perenggan diatas; Seseorang ada silam yang kelam dengan si A. Namun si A mempunyai tempat yang istimewa dihatinya. Perubahan seringkali gagal dikeranakan sejarah silam berkaitan dengan si A yang terus menerus menteror dan menghantui. Tuan punya diri ketika di dalam keadaan ini perlu studi. Dia perlu tahu maklumat lengkap akan perubahan yang ingin di capai dan segala faktor yang mendukung. Jika melupuskan semua yang berkait dengan si A adalah sebuah penyelesaian maka tindakkan itu adalah yang paling relevan dilakukan.

Past vs Future

Lampau dan akan datang tidak mungkin akan bertemu. Yang lampau tidak akan berulang. Matahari yang terbit setiap pagi memang matahari yang sama. Tapi putaran bumi di atas paksinya adalah putaran ke berapa? dan putaran bumi mengelilingi matahari merupakan putaran yang ke berapa pula? Dalam erti kata lain, apa yang terjadi tidak pernah akan kembali. Setiap detik, minit, jam, hari, yang kita terus menerus lalui ini memang tidak pernah akan kembali.

Apa yang sudah terjadi tak dapat di undo. Maka apa yang berlalu bukan lagi suatu yang perlu dikesali sahaja. Kerana sekedar penyesalan memang tiada guna. Akan datang pula, suatu yang mungkin ada, atau mungkin tiada. Maka yang benar-benar milik kita adalah apa yang kita punya saat ini.

Oleh kerana yang akan datang belum pasti, sedangkan yang telah lalu pula tidak akan kembali. Maka, peluang untuk memperbaiki keadaan adalah untuk segera membuat keputusan ke arah mana perubahan perlu dilakukan. Keterikatan dengan silam yang menghambat perubahan akan hanya mempersiakan peluang. Putuskan saja hubungan dengan silam kerana silam sudah tidak dapat mendatangkan apa-apa keuntungan.

HIDUP BARU ALA SAYA

Bagi aku, setiap hari mencelikkan mata adalah hidup baru bagiku. Pernah suatu hari aku tidak dapat tidur. Ntah mengapa sebabnya. Apa yang berlaku aku gelisah dan risau kerana tak mampu lelapkan mata. Hari berikutnya aku tidur tak bangun-bangun. Sedar-sedar seharian (satu hari) aku tidur. Kata teman-teman sudah banyak kali mereka cuba mengejutkan tapi tak juga terjaga. Dua peristiwa ini memberi semacam kesan bahawa tidur dan bangunnya kita adalah sesuai ketentuan dan kehendak Allah. Maka, bagiku malam aku menutupkan mata adalah suatu akhir dan pagi aku membuka mata suatu permulaan baru pula. Menutupkan mata dengan zikir dan permohonampunan dosa kerana risau andai tidur itu selama-lamanya. Bangkit di pagi hari dengan puji syukur anugerah pengembalian roh pada badan. Pembaharuan hidup yang berterusan. Dengan demikian, sikap kita menghargai satu hari yang akan kita alami akan lebih sungguh-sungguh dan prihatin. Bukan ala kadar seperti yakin hari-hari yang kita miliki “konfirm” jatahnya sebanyak mana.

JANGAN TAKUT BERUBAH

Tak perlu takut untuk berubah ke arah positif. Apalagi ke arah yang jelas-jelas Allah redhoi. Kerana derita yang kita alami dalam mengharungi titi perubahan itu akan mendapatkan ganjaran dan balasan yang amat sangat berbaloi. Tak perlu risau melepaskan hari-hari yang penuh parutan seksa. Tak perlu ragu melangkah ke lorong terang penuh cahaya.

Mantapkan dengan pengetahuan dan maklumat. Usaha dengan gigih mencari pencerahan. Kerana yang benar itu jelas dan gagah. Maka menuju ke arahnya tak perlu takut.

SUMBER KEKUATAN

Akhir sekali, dalam memulakan hidup baru, kita memerlukan sebuah kekuatan. Kekuatan untuk berubah. Kekuatan untuk berhadapan dengan segala kemungkinan yang bakal lahir dari perubahan yang kita tempuh. Kekuatan manusiawi kita terbatas. Entah itu kekuatan emosi, fizikal, hati dan sebagainya. Hakikatnya manusia serba terbatas. Mohonlah kekuatan dari Zat yang Maha Kuat Maha Perkasa. Mohon dariNya kekuatan untuk melangkah. Mohon darinya kekuatan untuk berfikir. Mohon dariNya kekuatan untuk bertindak. Mohon dariNya kekuatan untuk konsisten. Mohon dariNya kekuatan untuk terus menerus memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Antara manusia dan Allah tiada perantara. Mohonlah, sebutlah, ucaplah, rayulah, dia Zat yang sebenarnya akan menggerakkan hati kita. Dia Zat yang hakikatnya bakal mengubah diri kita. Dengan KuasaNya kita akan kuat menghadapi segalanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan




PERHATIAN!!!

Untuk melihat blog ini dengan lebih baik, sila buka melalui Mozilla Firefox..